Khamis, Januari 29, 2009

Salam untuk rakan-rakan.


SALAM UNTUK RAKAN-RAKAN, Hari ini Jumaat 30.01.2009, mulai jam 3.00 petang, saya akan menghadiri satu " Kursus Kepimpinan Berintegriti ", sehingga hari Ahad, justeru saya tidak dapat menatap wajah blog rakan-rakan di komputer, Semoga rakan-rakan semua sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat. Selamat berjumpa lagi.

KUNTONG.
WASSALLAM.

MANUSIA - pada BATU - PASIR - dan AIR.




MANUSIA, BATU, PASIR, DAN AIR...


MANUSIA DAN BATU



Salam sejahtera untuk rakan-rakan.

Syukur kepada Allah SWT, kerana di pagi yang berbahagia ini, kita masih dapat menikmati keindahan pagi yang amat nyaman, mata kita dapat lagi memandang alam maya, kulit badan dan tubuh kita masih dapat merasai kepanasan dan keperitan cahaya mentari pagi, lidah kita masih dapat membezakan manis dan pahit makanan, teling kita masih dapat mendengar suara azan pagi yang syahdu,masih boleh mendengar suara lunak penyanyi pujaan kita dan banyak lagi kenikmatan yang sudah tentu tidak mampu dibilang oleh manusia.

Namun di waktu yang sama, kekadang kita terlupa bahawa kenikmatan yang diberikan oleh Allah itu akan ditarik pada bila-bila masa bila waktu dan tikanya tiba.

Pernahkah kita terfikir bahawa segala kenikmatan yang Allah berikan itu untuk apa, atau pernahkah kita bersyukur diatas segala kenikmatan yang telah kita nikmati sepanjang hidup kita.

Itu terpulang kepada individu. Kita manusia yang diberi akal dan fikiran untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Kita adalah manusia, yang mempunyai berbagai sifat,ragam dan sikap,kata orang-orang yang bijaksana, sifat manusia ada tiga kategori :-

PERTAMA: Yang sifatnya umpama huruf-huruf di pahat pada batu keras. Mereka ini mudah marah, suka menghambur kemarahan dan kemudian menyimpan perasaan marah itu serta dendam kesumat dalam tempoh yang panjang.


KEDUA
: Yang sifatnya seperti huruf-huruf yang dilakar pada pasir. Mereka ini mudah marah, tapi sebentar sahaja, kemudian melupakannya.


MANUSIA DAN PASIR


KETIGA: Yang sifatnya seperti huruf-huruf yang ditulis pada air yang mengalir. Mereka tidak menyimpan sebarang perasaan buruk dan tidak mengindahkan kata-kata mahupun khabar angin yang negatif. Sifat manusia seperti ini sentiasa bersih, tulin dan tidak mampu diganggu-gugat oleh sesiapa dan apajua pun.


MANUSIA DAN AIR

Sama-samalah kita fikirkan, di manakah kita berada, pada batu, pada pasir atau pada air.

Sekian...semoga Allah SWT melindungi kita semua dari mara bahaya,serta dijauhi dari bisikan syaitan. Agar kita dapat hidup dalam suasana yang aman dan damai. Sentiasa mensyukuri segala kenikmatan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.

Sekian. Wassallam.


Selasa, Januari 27, 2009

CUBA JAWAB (Santai minda)

TERMINAL BAS EKSPRESS BATU PAHAT

HANYA UNTUK MENGISI MASA LAPANG.


Pada entri lepas, saya ada bercerita tentang perjalanan saya ke Kluang. Saya ada juga ceritakan tentang pemandu kita bila berada di jalanraya. Nasib pasukan polis yang membuat sekatan jalanraya, dilanggar oleh mat rempit, tapi kali ini saya tidak akan bercerita tentang apa-apa. Anda semua baru balik dari bercuti, jadi badan pun letih dan esok mula bekerja.

Apa yang hendak kawan-kawan buat ialah, cuba jawab kalau sudi soalan saya ini.

APAKAH PERKARA YANG PALING UTAMA ANDA LAKUKAN SEBELUM ANDA TURUN DARI BAS.

Senang kan ! Cuba jawab.

Jawapan dan ulasan selepas satu minggu. (Insa'allah)





Ahad, Januari 25, 2009

Sepanjang perjalanan...........

Malam ini badan terasa amat letih, apa tidaknya.....setelah menempuh perjalanan yang tidak berapa jauh, iaitu dari Kampung Tengah di Kluang ke Batu Pahat, tetapi disebabkan oleh kesesakan jalanraya, ia membuatkan perjalanan ini amat meletihkan. Sampai di rumah lebih kurang jam 6.30 petang lantas bersiap-siap untuk ke masjid untuk solat maghrib dan terus ke solat isyak. Selepas solat isyak, terus ke majlis khenduri di kampung.

Perjalanan ke stesyen Batu Pahat, saya menumpang kereta seorang kawan. Di pertengahan jalan saya terpaksa turun di Peserai, ini disebabkan oleh sekatan jalanraya oleh PDRM, lantaran tempat duduk belakang belum dipasang tali pinggang keledar, hendak tak hendak, terpaksa turun untuk mengelakkan dari di saman, walaupun perjalanan ini belum sampai ke destinasi pertama iaitu stesyen bas Batu Pahat.

( maaf..... mata pun mengantuk...akan saya sambung esok............).Semoga malam ini dapat tidur dengan lena, begitu juga anda.......semoga tidur anda dibuai dengan mimpi indah .....)

.....Saya sambung semula SEPANJANG PERJALANAN....setelah masa mengizinkzn.
(Ahad 25.01.2009 Jam 4.32 petang).

Setelah turun dari kereta kawan saya, saya pun menunggu bas untuk ke Batu Pahat. Lama juga menunggu bas, terpacak di bawah pokok untuk mengelakkan cahaya matahari yang panas terik.
Di saat inilah saya terasa bagaiman saudara-saudara kita yang tak punya kenderaan atau yang tak mampu untuk membeli kereta menjalani kehidupan seharian, andaikata ianya perlu untuk bergerak ke sana ke mari dalam usaha mencari nafkah hidup. Baru terasa di hati ini, alangkah bersyukurnya kita yang mampu untuk membeli kenderaan, walaupun ianya kenderaan buruk. Di sinilah timbul rasa keinsafan bahawa kita patut bersyukur dengan apa yang kita ada dan mampu.

Lebihkurang empat puluh lima minit bas "mayang sari " pun sampai. Saya naik dan duduk dibelakang pemandu setelah membayar tambang.

Bas berjalan dengan perlahan kerana sekatan jalanraya. Pemandu bas bersembang dengan seorang penumpang yang duduk di sebelah saya. Suaranya amat lantang. Mereka bersembang dalam bahasa Jawa yang pekat. Saya hanya dapat memahaminya 70 % dari topik perbualan itu, walaupun saya dari keturunan Jawa, tetapi tidak semua saya fahami.

Apa yang dapat saya dengar dan fahami ialah tentang kerenah setengah pemandu yang memotong barisan ketika di jalan raya. Menurut mereka, pemandu sekarang ini hilang budi bahasa ketika memandu atau menunggang motosikal. Walaupun orang Malaysia di labelkan oleh sesetengah pelancong sebagai orang yang paling berbudi bahasa.

Setelah melepasi sekatan polis, topik perbualannyanya pula berbeza. Menurut pemandu bas, orang dahulu sangat-sangat menghormat pasukan polis kerana lambang polis yang dipakai oleh pihak polis. Dan pihak polis pula sangat menghormatinya sebagai satu tanggungjawab, kerana lambang polis di topi yang dipakai tertera nama Allah .Ini bermakna pihak polis memikul tugas atas nama Allah.

Tetapi sekarang, menurut kawan pemandu itu, semuanya sudah berkurangan . Buktinya ramai pihak polis dilanggar oleh mat rempit ketika membuat sekatan jalanraya. Mereka sama-sama mengeluh dengan fenomena ini.

Saya mendengar dengan tekun segala perbualannya walau pun sesekali saya tidak dapat mendengar dengan jelas disebabkan oleh kebisingan kenderaan.

Setelah sampai di stesyen bas Batu Pahat, saya terus turun dan mula mencari-cari bas mana yang hendak saya naiki untuk meneruskan perjalanan ke Air Hitam.

(ok...... relax dulu no....solat Asar......)

Jumaat, Januari 23, 2009

Ziarah rakan-rakan- Esok masih ada.




                      Semoga cahaya sinar harapan terus gemerlapan hingga ke pagi. 










                          Semoga esok masih ada untuk kita



Selepas, menulis tentang nasi ambeng, saya tidak berkesempatan untuk menulis apa-apa di dalam halaman ini. Sehinggalah pagi tadi saya hanya coretkankan doa untuk rakan-rakan blog . Doa untuk kebahagian kita di dunia dan akhirat, bukan hanya untuk diri kita, tetapi untuk keluarga . 

Walau bagaimana pun episod "nasi ambeng " belum tamat. Ia akan muncul, hanya masa yang menentukan.

Dalam seminggu ini, saya banyak menziarahi blog kawan-kawan. Dari satu ke satu blog. 

Leenoh, Nurhani Salwa, Goasop, Snow White Zone, PJ Slambe, Zaidon, Fiza, Suw, dan banyak lagi yang tak dapat saya nyatakan.

Dipendekkan ceta, hang semua hebat-hebat, saya tabik dengan anda semua. Sesungguhnya anda adalah insan-insan yang punya ilmu pengetahuan yang amat berguna dan tinggi kalau nak dibandingkan dengan saya yang amat ......(malu nak ceta ).  Gunakanlah ia untuk kebaikan, untuk keamanan, kesejahteraan dan yang penting untuk agama, bangsa dan negara.

Sdr Leenoh, mungkin la ni (jam 11.45 mlm) dalam perjalanan ke Kluang untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. (Semoga anda selamat dlm perjalanan).

Kepada mereka yang sedang bercinta.......mudah2an cinta anda dan cinta kekasih anda adalah cinta abadi.

Kepada mereka yang sedang meneruskan pelajaran, mudah2an anda mendapat keputusan yang diidamkan.

Kepada ....rakan yang kecewa pada hari ini...baik kecewa dalam apa jua urusan pun.....janganlah berputus asa................ingatlah, kalau kita gagal pada hari ini...tak bereti kita gagal selama-lamanya....Kalau hari ini ..dia  kecewakan hatimu...... Ya Allah... janganlah jadikan dirimu insan yang kerap kecewakan hati orang lain.  

Andaikata kau pedihkan hatiku dengan kata-kata yang amat berbisa, biarlah bisa dihatiku ..ku tanggung sendiri. Semoga di satu hari nanti.......kau akan sedari  .... bahawa kita tak boleh bersendirian di dunia ini. Kita perlu hidup dan terus hidup, selagi nyawa di kandung badan......
selagi itulah , kita kena hadapi.....kerana esok akan terus menanti......esok masih ada......untuk kita tatapi hari-hari muka.....

Sekian. Wassallam.

DOA UNTUK RAKAN RAKAN

Assalamualaikum kepada rakan-rakan bloggers dan pembaca:

Dengan tulus ikhlas dan hati yang suci di pagi Jumaat ini, saya doakan kepada rakan-rakan bloggers, pembaca sekelian agar Allah SWT menganugrahkan kepada kita semua kesihatan tubuh badan dan akal fikiran yang waras, agar kita semua dapat terus beramal ibadat, dapat terus mencari rezeki yang halal untuk tanggungjawab kita, semoga keluarga kita dilindungi oleh Allah SWT  dari marabahaya.

Kita juga berdoa agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah serta menjadi warga negara yang berguna kepada diri sendiri, ibubapa, keluarga,negara dan agama.

Kepada yang sedang menghadapi masa,alah, bersabarlah . Kerana mungkin segalanya mempunyai HIKMAH yang kita tidak tahu.

Sekian, Amin Ya Robbalalamin.

Ahad, Januari 18, 2009

MAJLIS TAHLIL ARWAH DAN NASI AMBENG







KEUNIKAN NASI AMBENG / AMBANG




ASSALAMUALAIKUM,

Malam ini ada dua majlis tahlil arwah di tempat saya. Satu majlis arwah tahlil kawan yang meninggal lebih kurang sebulan lebih yang lalu dan satu lagi majlis kesyukuran kawan saya yang mendapat cucu.

Kedua-dua majlis ini diadakan pada malam yang sama, dan secara kebetulan pula rumah yang mengadakan majlis ini berdekatan.




HIDANGAN NASI "AMBENG" ZAMAN INI.


Di rumah pertama ialah majlis tahlil arwah. Biasalah majlis dimulakan dengan bacaan tahlil seperti yang anda lakukan di tempat anda. Cuma perbezaannya ialah bacaan doa.

Bacaan doa dibacakan 3 kali, pertama bacaan doa selepas bacaan tahlil dan wirid, kedua bacaan doa semasa nak memulakan jamuan, dan doa juga dibacakan selepas jamuan. Mungkin ada perbezaan di tempat lain. Walau bagaimana pun yang penting, ikhlas para jemputan menghadiahkan tahlil kepada arwah si mati.

Apa yang nak saya perkatakan dalam halaman ini ialah jamuan selepas bacaan tahlil .Kebanyakkan orang di tempat saya ialah masyarakat keturunan "Jawa". Kebiasaannya kalau ada majlis tahlil di kampung ini, jamuannya ialah jamuan nasi AMBENG. Perkataan " ambeng "ni memang tidak boleh dieja dalam rumi atau jawi. Sebab perkataan itu kalau di tulis dengan AMBENG ia tidak akan menghasilkan bunyi seperti yang lazim di sebut, kerana " ambEng " . Kemungkinan bunyinya akan terhasil seperti yang disebutkan andai pada huruf (e) dibubuh tanda di atasnya. (Ejaan dahulu semasa saya bersekolah).





          MAJLIS TAHLIL MENGERATKAN SILATURRAHIM DI KALANGAN KOMUNITI

SUASANA SELEPAS BACAAN TAHLIL SELESAI DAN MENUNGGU JAMUAN



Ada juga orang sebut nasi ambang, tetapi pada saya, perkataan itu tidak tepat, kerana perkataan "ambang" membawa maksud yang lain.

Sebenarnya nasi ambeng yang dihidangkan ialah nasi ambeng yang sudah diolah mengikut peralihan zaman. Hidangan nasi ambeng pada zaman dahulu agak berbeza dengan nasi ambeng sekarang.


Nasi ambeng yang di hidangkan sebenarnya mempunyai pengertian yang cukup unik dan mendalam. Ia adalah hidangan yang penuh makna. Mungkin agak pelik kalau orang luar dihidangkan dengan nasi ambeng.

PERNAHKAH ANDA MENIKMATI NASI AMBENG /AMBANG ?


Insaallah saya akan terangkan di halaman akan datang.
WASSALLAM.

Dicatat oleh KUNTONG pada jam 12.54 18.01.2008.

Jumaat, Januari 16, 2009

JADILAH PETANI SAMBILAN

POKOK BUNGA BOLEH DITANAM, MENGAPA TIDAK POKOK SAYUR-SAYURAN.



Apa nak jadi........dah jadi pun.........!




Setiap kali ke kedai.......setiap kali ke pasar....... setiap kali lah kita mengeluh. Mengapa ini terjadi ? Dah tentulah tentang harga barang yang dah naik. Kalau dulu dengan RM50.00 banyak barang yang boleh dibeli. Sekarang....dengan jumlah yang sama, anda pun tau.... tak payah saya nyatakan di sini.




Dulu, alasan pekedai atau penjual........" Ei...kawan ,minyak atak naik...jadi itu transpot pun ada naik lo...apa macam....kita angkat ini balang pun sudah mahal lo....siapa mau lugi....."



" Itu upah loli lo mahat (mahal). Halaga minyak naik........wa untong sikit lo.....upah sikit...."


Yang pelik bin hairan ialah, bila harga minyak naik, dengan cepat harga barang turut naik, tetapi bila harga minyak turun....harga barang sama juga. Alasannya , stok lama. Tetapi yang sedihnya ialah, bila kerajaan mengumumkan harga sesuatu barang naik, dengan cepat, harga itu dinaikkan.


Cuba anda tanya di pasar atau di kedai-kedai di tempat anda, berapakah harga cili padi, cili merah, sayur-sayuran, pokok serai, santan, kelapa parut dan lain-lain. Saya rasa anda semua sedia maklum.


TANAM POKOK CILI DALAM BAG

Apakah daya kita sebagai pengguna atau pembeli ? Tidakkah ada cara lain untuk mengurangkan kos. Saya rasa kalau barang-barang yang boleh kita usahakan sendiri atau kita tanam sendiri di rumah, baik di kampung, di taman, atau di bandar sekali pun, kita boleh lakukan.


Sebagai contoh...cili padi, cili merah, sayur-sayuran bolehlah kita usahakan di rumah dengan menggunakan bekas-bekas plastik, tin-tin kosong, poly bag dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita boleh kurangkan kos belanja pasar.


TANAM SAYUR-SAYURAN DALAM POLY BAG BOLEH MENGURANGKAN KOS



Kita menyalak macam mana pun, kita membebel sampai seminggu pun, pekedai tidak akan menurunkan harga barang. Kalau nak boycot kedai itu, orang lain pun beli juga. Dia tak hairan, satu pergi, seribu mari. Sebenarnya dia orang ni nak untung lebih...mereka sudah lupa kewajipan sebagai peniaga, satu profession yang pernah dilakukan oleh Nabi Mohammad saw.

BALIK KAMPUNG TANAM JAGONG


Untuk mengurangkan kos......marilah kita jadi PETANI sambilan, atau petani kecil-kecilan. Kita boleh tanam cili, sayur, bawang dan lain lain di keliling rumah kita atau di tin tin kosong atau bekas plastik. Sekurang-kurangnya dapat menjimatkan belanja harian kita. Kita ada banyak cara untuk mengurangkan kos harian.....tetapi ingat, jangan sampai anak bini kita TAK MAKAN langsung. Itu kes nyaya.

Jom.....kita mulakan esok, siapa yang dah buat, BEST !



Pembebel : Kuntong-17.01.2008 Jam 12.45 mlm.



Isnin, Januari 12, 2009

BANJIR DALAM KENANGAN





BANJIR.........OH ...........BANJIR.

Akhir tahun 2006 dan awal 2007, Batu Pahat dilanda banjir, kawasan yang terlibat pada mulanya ialah kawasan Seri Medan dan Parit Sulong. Setelah seminggu, kawasan-kawasan lain dalam Mukim 4 turut juga mengalami banjir akibat dari hujan yang tidak berhenti. Jalan Parit Sulong - Parit Jalil sudah tidak boleh dilalui oleh kenderaan.  Kawasan yang paling teruk ialah kawasan Seri Medan. Diberitakan paras air ada yang mencecah hingga ke bumbung rumah. Banyak pusat penempatan dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir. Di kawasan Parit Sulong sahaja, lebih dari 10 pusat penempatan banjir telah dibuka. Pusat penempatan yang besar ialah di Sekolah Menengah Dato' Sulaiman, Parit Sulong , Batu Pahat.



BANJIR BOLEH MEMBAWA MAUT


Semasa banjir, kita perlu berhati-hati dalam semua segi. Andaikata kita leka, ianya boleh mengundang maut. Maut tidak mengenal usia. Orang dewasa atau kanak-kanak perlu berhati-hati dalam semua segi. Gambar di atas bukanlah mangsa banjir, tetapi mangsa sampan tenggelam di Sungai Simpang Kiri. Kejadian berlaku sebelum banjir melanda Batu Pahat, ia terjadi akibat kecuaian.


DARI BANJIR KITA DAPAT MENGENAL SIKAP SESAORANG . IA MENGUJI KESABARAN DAN KEIMANAN KITA.




PERMULAAN BANJIR GELOMBANG PERTAMA TIDAK MEMBIMBANGKAN, TETAPI SIAPA SANGKA, IA DIULANG DALAM GELOMBANG KEDUA.




Mengenang kembali peristiwa banjir di Batu Pahat 2 tahun lepas, ia banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Di waktu itulah, kita dapat menilai sikap kita sebagai mangsa banjir atau pihak yang diberi tanggungjawab untuk menjaga mangsa-mangsa banjir.






Sesungguhnya ia bukanlah satu tugas yang mudah bagi mereka yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan mangsa-mangsa. Kita terpaksa melayan seribu kerenah dan bermacam-macam harapan dari pihak mangsa. Sebahagian dari mereka kekadang ada yang terlupa bahawa di waktu itu adalah waktu banjir, ia perlu kerjasama dari semua pihak. Kita tidak dapat memenuhi semua kehendak orang dalam satu masa.


Banjir atau bah dan apa jua kesusahan yang ditempuhi adalah satu ujian dari Allah swt .


Dari peristiwa banjir kita dapat belajar banyak perkara.
Banjir mengundang simpati.
Banjir menguji tingkat keimanan umah. Banjir menguji kesabaran
Dari peristiwa banjir...kita dapat mengenal sikap sesaorang.
Banjir memberi pengajaran kepada kita dalam banyak hal.
Dan .......ada juga yang mengambil kesempatan dari peristiwa banjir.

BANJIR !........OH........BANJIR !

Kini semuanya dalam kenangan......semoga banjir tidak datang lagi.

ITULAH HARAPAN KITA ,  ITULAH DOA KITA SEMUA.

Semoga Allah swt menerima doa anda sekelian. AMIN........,  YA RABBAL ALAMIN.



Sabtu, Januari 10, 2009

BERSYUKUR DI ATAS SEGALA NIKMAT.


                                     SAKSIKAN KEINDAHAN MENTARI PAGI
Syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya pada saat ini,  kita masih terus dapat menjalani kehidupan kita seperti biasa.  


Bila saja kita membuka mata di awal  pagi, Kita dapat menghirup udara yang nyaman, dapat merasai panas matahari, dapat merasai sejuknya angin yang bertiup, dapat melihat alam keliling, dapat mendengar suara anak-anak yang riuh rendah, atau suara kawan-kawan, dapat berinteraksi dengan orang di sekeliling . Bahkan banyak lagi perkara-perkara yang dapat kita boleh buat hanya dalam satu hari.   

Bandingkan diri kita dengan mereka yang sakit, buta, bisu, lumpuh,oku,dan banyak lagi.

Bagaimana kalau umur kita sekarang 40 tahun,  atau kurang daripada itu, bolehkah anda atau saya sendiri, mengira atau menyimpan rekod bagi setiap pergerakan atau setiap tingkah laku yang kita buat atau lakukan. Sudah tentu kita tidak mampu untuk melakukannya dengan secara detail. Walau ada pun, kita hanya dapat mencatatkannya untuk perkara-perkara yang mustahak di dalam diari kita.

Kita bersyukur di waktu pagi,  kerana kita masih hidup dan bernyawa, kalau hendak dibandingkan dengan orang-orang lain atau kawan-kawan kita yang telah meninggal dunia.  Kemudian kita dapat bangun, berjalan, seterusnya bersiap diri untuk membersihkan diri kita dalam persediaan untuk bersolat subuh. Bagaimana dengan mereka yang sakit, tidak dapat bangun dengan sendiri dan tidak dapat berjalan sendiri disebabkan sakit atau sebagainya.

Seterusnya pada mereka yang bekerja, terus bekerja untuk mencari nafkah keluarga, syukur kerana kita ada kerja kalau hendak dibandingkan dengan mereka yang tidak ada kerja.

Dalam perjalanan ke tempat kerja,  kita dapat ke tempat kerja dengan aman-damai, kalau hendak dibandingkan dengan negara-negara yang sedang bergolak dewasa ini. 

Pendek kata, banyak lagi perkara-perkara yang dapat kita lakukan pada setiap hari , semenjak kita dilahirkan di dunia ini hingga ke hari ini, atau dalam perkataan lain, semenjak kita hidup di dunia ini. Pernahkah kita terfikir...dan bertanya kepada diri sendiri, mengapa dan kenapa kita dilahirkan, ke manakah hala tuju kehidupan kita. Apakah tujuan kita dihidupkan.   Bagaimanakah rupa bentuk kehidupan yang baik.


Bagaimana pun bersyukurlah kita .....kerana kita dilahirkan, dihidupkan dibesarkan dikalangan ibubapa kita yang beragama Islam. Dan di lahirkan di negara kita yang aman dan damai, kalau hendak dibandingkan dengan negara-negara lain di sekeliling kita.

Bahawa apa sahaja yang kita lakukan adalah merupakan nikmat dari Allah swt. Masihkah kita tidak bersyukur dan puashati dengan nikamat yang kita kecapi ?

Ayat 13 Surah Ar Rahman yang bermaksud " Maka nikamt Tuhan kamu yang manakah yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin )."

Dari itu....bersyukurlah. Sekurang-kurangnya mengucap ALHAMDULILLAH.

Sekian, Wasallam.



 
      

Selasa, Januari 06, 2009

KALAU KITA TERPAKSA JADI KAYU.









  
                     Nasib baik ulu kapak ini besi.   


                  Sanggupkah kita jadi kayu api ?





Assalamualaikum semua:


Saya telah menghadiri satu kursus di INFRA Bangi Selangor, sekitar bulan Jun 2004. Di akhir kursus itu, satu majlis penutup telah diadakan.

Salah satu acara dalam majlis itu ialah membaca sajak. Walaubagaimana pun sajak ini amat menarik untuk direnung bersama.







KALAU KITA TERPAKSA MENJADI KAYU


Kalau kita terpaksa menjadi kayu,
Biarlah.... jadi gaharu atau cendana,
Wangi.......lembut dan bernilai tinggi,

Atau....... paling tidak........jika terpaksa,
Jadilah ..kayu api,
Asal punya harga diri.

Tetapi......

Jika memang mahu jadi kayu.....
Majal.......keras.......dan padu,
Seperti chengal, atau meranti,

Jangan pula nanti,
Sampai sanggup jadi ulu kapak,
Yang rela dipergunakan ,
Hingga tergamak....menetak kaum sendiri.




(Semoga kita semua tidak menjadi ulu kapak.)

Sekian untuk renungan bersama, saya dan anda.



Terima kasih.
Wasallam.












Jumaat, Januari 02, 2009

Merawat dan memulih.






                          Hari berganti malam.....2008   telah berlalu dan tak akan datang lagi.





Semalam bermulanya tahun 2009, saya ke Kuala Pilah, urusan famili..hari ini saya anggap hari yang sibuk buat diri saya. Apa taknya.... dari pagi hingga ke petang asyik meeting aja. Hanya solat Jumaat yang memisahkan keduanya.

Pada sebelah pagi, dapat panggilan telefon, agar hadhir di pejabat AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) Batu Pahat untuk satu mesyuarat kepada JKPD (Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah) Daerah Batu Pahat. dimana saya salah seorang AJK. Manakala sebelah petang kira-kira jam 3.00 petang kena hadhir di mesyuarat JKKM Mukim 4, Batu Pahat. saya pula kena hadir kerana saya adalah SUnya kononnya.



Di sebelah pagi, merencana aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2009. Di sebelah petang pula, merencana satu program yang akan dijalankan di Taman Seri Sulong, Batu Pahat pada Hari Sabtu 10.01.2009. Di sini akan diadakan satu demo penyemburan satu bahan (EM :belum diketahui nama sebenar) yang dipercayai boleh merawat air yang tercemar akibat air kumbahan dari kilang memproses ayam.


Apa yang saya ingin utarakan di sini ialah , di kedua-dua pertemuan ini ada persamaannya, iaitu MERAWAT atau MEMULIH . Disebelah pagi merawat manusia, dan di sebelah petang merawat air.

Di sebelah pagi " Manusia merawat manusia " untuk kebaikan manusia.

Di sebelah petang pula manusia merawat "AIR " untuk kebaikan manusia disebabkan oleh kerakusan dan kelalaian MANUSIA juga.

Bagaimana dengan diri kita ? Apakah yang hendak dirawat ? Apakah yang hendak di pulih ?

Jawapannya ada pada diri anda sendiri ? Sebagai seorang ISLAM , anda tentu tau jawapannya.

Wasallam.







Khamis, Januari 01, 2009

Hanya Untuk saya, famili dan anda.

Salam semua:

Hari ini tahun baru Masihi 2009, saya akan ke Kuala Pilah untuk urusan keluarga, di tahun baru ini saya  ingin mengucapkan   " SELAMAT TAHUN BARU " kepada rakan-rakan semua,  semoga kehidupan kita pada tahun 2009  sentiasa di dalam lindungan Allah  SWT, berazamlah untuk jadi manusia yang baik dan berguna kepada diri sendiri, keluarga,bangsa dan agama.

Untuk diri saya, saya berazam untuk menjadi insan yang berguna untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat. Sekurang-kurang, kalau tidak dapat berbakti kepada orang lain, saya akan menjadi manusia yang "Tidak menyusahkan orang lain." 

Sekian, wasallam.