Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan

Isnin, Februari 16, 2009

Marilah sama-sama berdoa.....






BERDOALAH UNTUK KESEJAHTERAAN BERSAMA






Salam:

Lebih dari seminggu, saya tidak update atau menulis apa-apa entri di dalam blog. Entah mengapa saya sendiri pun tak tau. Sebelum menghadap komputer, macam-macam dalam kepala yang akan ditulis, tetapi apabila mula nak menaip dalam ruangan catatan baru, hati mula tawar. Sebaliknya hanya berlegar-legar ke blog kawan-kawan yang memang menarik dan banyak infomasi.

Kekadang , bila kita menghadapi sesuatu situasi begini, kita tidak dapat mengagak mengapa ianya terjadi. Justeru kawan-kawanlah yang sering memberi panduan dan nasihat. Nasihat dan pandangan dari kawan memang perlu dalam hidup ini. Nasihat dari merekalah yang menjadi timbangtara kita untuk membuat kesimpulan dan tindakan selanjutnya.

Kemungkinan apa yang menyebabkan hati ini menjadi lesu dan tidak bermaya ialah keadaan yang sedang berlaku di negara kita, tentang perpaduan orang kita, orang Melayu Islam. Walaupun ianya tidak ada mengena dengan kita sebagai orang bukan politik, tetapi ianya melibatkan anak cucu kita. Apa yang akan terjadi duapuluh tahun atau tigapuluh tahun akan datang. Apakah nasib mereka pada masa itu.

Kebanyakan dari anak kita tidak merasa bagaimana hidup sebelum merdeka, keadaan hidup semasa zaman penjajahan British, atau zaman dharurat. Zaman dimana bekalan letrik atau air paip belum lagi sampai di kampung. Apa lagi jalan tar . Jauh sekali televisyen atau komputer. Apa yang mereka tau ialah lahir di bumi yang sudah tersedia dengan kemudahan.

Ibu saya ada menceritakan bahawa ayah saya meninggal pada tiga hari raya Aidilfitri akibat sakit demam, waktu itu umur saya baru setahun setengah. jadi sekecil itu, saya sudah jadi anak yatim.Lebih kurang umur tujuh atau lapan tahun, untuk menampung hidup, saya terpaksa menolong nenek menoreh getah. Kerja begini berjalan hinggalah umur saya lebih kurang 10 tahun. Seawal jam 5.00 pagi sudah meredah kebun getah untuk memotong getah. Tugas saya yang masih kecil ialah menarik getah segrip dari cawan getah dan kumpulkan di dalam baldi. Selepas tugas saya habis, lebihkurang jam 10.30 pagi, saya balik ke rumah walaupun tugas nenek saya belum habis. Ini disebabkan saya akan bersiap-siap untuk pergi ke sekolah di bandar Batu Pahat yang jauhnya lebih 18 kilometer.

Perjalanan dari kampung ke bandar dengan basikal buruk pada waktu itu, tidak dapat digambarkan, lebih-lebih lagi kalau waktu hujan. Saya terpaksa menyebrang sungai Batu Pahat untuk sampai ke sekolah. Waktu itu jambatan Batu Pahat belum terbayang lagi. Yang ada hanya sampan dan feri sahaja. Untuk menyebrang sungai dengan sampan dikenakan bayaran 10 sen, pergi dan balik jadi 20 sen. Tinggallah wang saku 20 sen. Dari 20 sen ini, saya simpan 10 sen dan makan 10 sen.

Saya bersyukur, walaupun keadaan hidup amat susah, namun dapat juga saya lepasi persekolahan saya dari SMC (Special Malay Class) hinggalah lulus MCE (Malaysian Certificate of Education ) pada tahun 1964. Cita-cita untuk ke tingkatan enam, tetapi keadaan tidak mengizinkan, terpaksalah saya mencari kerja untuk meneruskan hidup.

Hari ini..... kehidupan hari ini..... kemudahan hari ini, adalah hasil perjuangan dari orang-orang dulu. Mereka yang lahir pada zaman yang boleh dikatakan senang ini, mungkin tidak mengerti erti kesangsaraan, kelaparan, peperangan, ketakutan. Kemungkinan mereka ingin untuk merasainya.

Saya yang pernah merasai semuanya ini berharap, agar semua ini jangan terjadi. Marilah kita sama-sama berdoa agar apa yang pernah terjadi pada zaman kita dulu, tidak terjadi pada zaman anak cucu kita nanti. Fikirkanlah sedalam-dalamnya, jangan bertindak mengikut perasaan. Jangan korbankan masa depan anak cucu kita.

Bertindaklah dengan waras dan pertimbangan yang sedalam-dalamnya.
AMIN.......YA RABAL ALAMIN.


Dari Kuntong 16 Februari 2009.







Isnin, Februari 09, 2009

UNTUK PANDUAN KITA



  UNTUK RENUNGAN BERSAMA:

1."Kegagalan itu merupakan satu kesempatan untuk 
    mendapatkan peluang yang lebih baik."
    (Henry Ford).

2."Akhlak yang buruk merosakkan amal, seperti cuka 
    merosakkan madu."
    (Nabi Muhammad SAW ).

3. "Bukan cita-cita namanya kalau hanya 
     dengan kata-kata. "
     ( Darwin )

4. "Orang yang sombong dan bongkak tidak akan 
     mengaku kesalahan dirinya, sebaliknya sentiasa 
     mencari kesalahan orang lain."
     (Fikirin Sendiri). 

5.  "Orang yang mabuk, sentiasa memikirkan 
      bahawa perbuatannya itu sentiasa betul 
      walaupun apa yang dilakukan itu ternyata salah, 
      dan sentiasa menyalahkan orang lain 
      walaupun perbuatan orang lain itu ternyata betul."
     (Fikrin Sendiri)




      

Selasa, Februari 03, 2009

DOA - otak IBADAH.




BERDOALAH UNTUK KEBAHAGIAN DI DUNIA DAN AKHIRAT




Antara ibadat yang tidak menuntut syarat dan rukun
yang ketat adalah DOA dan ZIKIR. Berdoa ertinya memohon 
dengan sepenuh hati kepada Allah dengan mengharapkan
kebaikan dan dikabulkan segala permintaan. ZIKIR  pula sebutan
lisan atau gerakan hati untuk mendekatkan diri dengan Allah atau 
menyingkirkan ehwal duniawi. Meskipun tidak menuntut syarat 
dan rukun yang ketat, doa dan zikir adalah ibadah yang penting. 
Doa adalah otak ibadah dan zikrullah itu lebih baik 
daripada  dunia dengan isinya. 


(IKHSAN MAMPANIES)




Khamis, Januari 29, 2009

MANUSIA - pada BATU - PASIR - dan AIR.




MANUSIA, BATU, PASIR, DAN AIR...


MANUSIA DAN BATU



Salam sejahtera untuk rakan-rakan.

Syukur kepada Allah SWT, kerana di pagi yang berbahagia ini, kita masih dapat menikmati keindahan pagi yang amat nyaman, mata kita dapat lagi memandang alam maya, kulit badan dan tubuh kita masih dapat merasai kepanasan dan keperitan cahaya mentari pagi, lidah kita masih dapat membezakan manis dan pahit makanan, teling kita masih dapat mendengar suara azan pagi yang syahdu,masih boleh mendengar suara lunak penyanyi pujaan kita dan banyak lagi kenikmatan yang sudah tentu tidak mampu dibilang oleh manusia.

Namun di waktu yang sama, kekadang kita terlupa bahawa kenikmatan yang diberikan oleh Allah itu akan ditarik pada bila-bila masa bila waktu dan tikanya tiba.

Pernahkah kita terfikir bahawa segala kenikmatan yang Allah berikan itu untuk apa, atau pernahkah kita bersyukur diatas segala kenikmatan yang telah kita nikmati sepanjang hidup kita.

Itu terpulang kepada individu. Kita manusia yang diberi akal dan fikiran untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Kita adalah manusia, yang mempunyai berbagai sifat,ragam dan sikap,kata orang-orang yang bijaksana, sifat manusia ada tiga kategori :-

PERTAMA: Yang sifatnya umpama huruf-huruf di pahat pada batu keras. Mereka ini mudah marah, suka menghambur kemarahan dan kemudian menyimpan perasaan marah itu serta dendam kesumat dalam tempoh yang panjang.


KEDUA
: Yang sifatnya seperti huruf-huruf yang dilakar pada pasir. Mereka ini mudah marah, tapi sebentar sahaja, kemudian melupakannya.


MANUSIA DAN PASIR


KETIGA: Yang sifatnya seperti huruf-huruf yang ditulis pada air yang mengalir. Mereka tidak menyimpan sebarang perasaan buruk dan tidak mengindahkan kata-kata mahupun khabar angin yang negatif. Sifat manusia seperti ini sentiasa bersih, tulin dan tidak mampu diganggu-gugat oleh sesiapa dan apajua pun.


MANUSIA DAN AIR

Sama-samalah kita fikirkan, di manakah kita berada, pada batu, pada pasir atau pada air.

Sekian...semoga Allah SWT melindungi kita semua dari mara bahaya,serta dijauhi dari bisikan syaitan. Agar kita dapat hidup dalam suasana yang aman dan damai. Sentiasa mensyukuri segala kenikmatan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.

Sekian. Wassallam.


Jumaat, Januari 02, 2009

Merawat dan memulih.






                          Hari berganti malam.....2008   telah berlalu dan tak akan datang lagi.





Semalam bermulanya tahun 2009, saya ke Kuala Pilah, urusan famili..hari ini saya anggap hari yang sibuk buat diri saya. Apa taknya.... dari pagi hingga ke petang asyik meeting aja. Hanya solat Jumaat yang memisahkan keduanya.

Pada sebelah pagi, dapat panggilan telefon, agar hadhir di pejabat AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) Batu Pahat untuk satu mesyuarat kepada JKPD (Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah) Daerah Batu Pahat. dimana saya salah seorang AJK. Manakala sebelah petang kira-kira jam 3.00 petang kena hadhir di mesyuarat JKKM Mukim 4, Batu Pahat. saya pula kena hadir kerana saya adalah SUnya kononnya.



Di sebelah pagi, merencana aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2009. Di sebelah petang pula, merencana satu program yang akan dijalankan di Taman Seri Sulong, Batu Pahat pada Hari Sabtu 10.01.2009. Di sini akan diadakan satu demo penyemburan satu bahan (EM :belum diketahui nama sebenar) yang dipercayai boleh merawat air yang tercemar akibat air kumbahan dari kilang memproses ayam.


Apa yang saya ingin utarakan di sini ialah , di kedua-dua pertemuan ini ada persamaannya, iaitu MERAWAT atau MEMULIH . Disebelah pagi merawat manusia, dan di sebelah petang merawat air.

Di sebelah pagi " Manusia merawat manusia " untuk kebaikan manusia.

Di sebelah petang pula manusia merawat "AIR " untuk kebaikan manusia disebabkan oleh kerakusan dan kelalaian MANUSIA juga.

Bagaimana dengan diri kita ? Apakah yang hendak dirawat ? Apakah yang hendak di pulih ?

Jawapannya ada pada diri anda sendiri ? Sebagai seorang ISLAM , anda tentu tau jawapannya.

Wasallam.