Selasa, Mac 03, 2009

KALAU BUKAN REZEKI KITA


KALAU BUKAN REZEKI KITA.....


           MENDUNG SI MEGA MENDUNG

SELASA  03 hb. Mac, 2009.


Pagi ini cuaca mendung, awan hitam diukuf barat kelihatan segar, tanda-tanda hendak hujan memang positif. Sudah dua atau tiga hari keadaan cuaca pagi sama saja. Tiga puluh minit kemudian, hujan renyai-renyai mula turun. Melihatkan keadaan mendung di langit, hati agak bimbang juga kalau-kalau segala mendung yang ada di langit itu turun kesemuanya, alamat banjirlah kawasan ini. Ini mengingatkan saya kepada peristewa tiga tahun yang lepas, dimana hujan yang turun tiga hari mengakibatkan banjir di kawasan kampung dan dikawasan sekitarnya. Kejadian ini memang tidak diduga.

Hati bertambah bimbang apabila mendengar berita bahawa di Negeri Melaka banjir dah melanda di kawasan Lubuk Cina. Ditambah pula berita yang menyatakan bahawa beberapa buah rumah di Pontian telah kehilangan bumbung akibat angin ribut.

Tetapi segala dugaan itu meleset, menjelang jam 10.00 pagi cuaca yang tadi gelap gelita diiringi dengan hujan renyai-renyai, tiba-tiba bertukar menjadi cerah dan terang benderang. Begitulah kebesaran Allah. Segala-galanya adalah di atas kehendakNya. Kita sebagai hambaNya hanya dapat meramal, Allah jua yang
menentukan segala.

Memandangkan cuaca baik, saya pun mula menjalankan kerja yang memang sudah dirancang. Membersihkan kawasan keliling rumah, menyapu sampah-sampah, mencantas pokok yang dah mula meliar dan tidak terkawal. Inilah kerja-kerja sampingan yang dapat saya buat sebagai seorang pesara.

Perkara pertama yang saya buat ialah menanam semula pokok buah naga. Pokok ini saya tanam semula oleh kerana pokok ini tumbang akibat batang asas dari kayu dimana pokok ini menjalar sudah reput. Sekarang batang asas diganti dengan batang simin. Begitulah, kalau asas dimana pokok ini bergayut tidak kukuh, ia akan tumbang sebelum ianya berbuah. Sekarang, batang asasnya dari simin, sudah tentu ianya kukuh dan kuat dan kelihatan terjamin. Hanya kita kena pantau selalu,seperti merumput dan menaruh baja.

Dari kerja-kerja menanam semula pokok ini, saya dapat satu pengajaran bahawa sesuatu perkara kita perlu ada asas yang kuat. Kita perlu ada pegangan yang padu barulah kita dapat menjalani hidup yang aman dan bahagia. Apakah pengajaran dan hikmah yang dapat dari cerita tadi ? Entahlah saya pun tak tahu. Diharap kawan-kawan dapat memberi pertunjuk  kepada saya. Saya memang tak berapa faham.

Terutamanya LEENOH, DEE, PJ, NURHANISALWA, MADAMOISELLE, PU3, UNGKU NOR, MISYA, RAIHANA, RAZAK,IJECHAN dan lain-lain.

Selepas selesai kerja-kerja menanam semula pokok buah naga, saya beralih ke tempat lain, meninjau pokok yang ditanam sebelumnya dengan harapan bahawa pokok itu hidup dengan subur dan berbuah. Tetapi apa nak dikata, pokok ubi yang ditanam dan mungkin akan cukup umur untuk dicabut sebulan lagi, sudah sedia dibaham oleh sang berkaki pendek. Penanam sudah tidak ada harapan lagi, habis sudah harapan untuk merasai ubi rebus bersama sambal tumis dan ikan masin, menu yang paling saya gemari sejak dari kecil. Sudah hilang angan-angan isteri saya untuk membuat tapai ubi, goreng ubi kayu yang dicecah dengan sambal kicap. 

Dari kesan-kesan dan bukti yang ada, saya dapat simpulkan bahawa si berkaki pendek ni bukan datang seekor, berkemungkinan datang beramai-ramai,ini berdasar kepada kawasan itu amat bersepah sekali. Yang saya hairan ialah mengapa mereka tidak datang semasa pokok ini baru sahaja ditanam atau semasa pokok ini belum berisi. Berkemungkinan mereka ini sudah ada alat pengesan yang lebih canggih dari manusia. Atau mereka ini bukanlah dari golongan yang tidak berpelajaran. Tetapi memang sudah menjadi suratan, bahawa pokok yang kita tanam tidak semestinya kita dapat merasai hasilnya. Ini pun satu ibadah, ini mungkin rezeki mereka. Kita hanya redha.

Beralih pula kepada pokok pisang. Pokok pertama nampak baik, berbuah dengan tandannya yang panjang. Tetapi kepada pokok yang kedua, menerima nasib yang sama seperti pokok ubi tadi.Kali ini yang punya rezeki ialah sang monyet. Beberapa biji yang sudah masak menjadi rezeki kepada monyet. Begitu keadaannya. 

Buah pisang yang masih ada dipokok yang sehingga kini belum terusik, belum tentu menjadi rezeki kita. Semuanya sudah ditentukan oleh Allah swt. Hidup mati kita pun ditentukan oleh Allah, makanan yang di dalam pinggan yang akan sedia untuk disuap ke dalam mulut kita pun belum tentu milik kita. Jodoh pun begitu jua. Walau pun kita bercinta seribu tahun dan sudah kenal sejak dari dalam perut ibunya, belum tentu menjadi jodoh kita. Dan kadang-kadang orang yang paling kita benci di dunia ini, alih-alih menjadi pasangan hidup kita.

Semua ini memberi pengajaran dan muhasabah kepada kita. Bahawasanya hidup didunia ini jangan terlalu suka dan terlalu benci akan sesuatu. Biarlah sederhana.

Tidak terlalu putih dan tidak terlalu hitam. Kalau sudah ditentukan bukan rezeki kita, macam mana pun ia akan terlepas jua.

Sekian dari saya. Wassallam.




            POKOK BUAH NAGA SEBELUM DITANAM SEMULA.



                 POKOK BUAH NAGA SELEPAS DITANAM SEMULA



              BUAH PISANG INI BELUM TENTU REZEKI KITA.





 JUMPA LAGI, INSYA'ALLAH.








5 ulasan:

ijechan berkata...

mendalam.. =)

ibarat teguhnya iman seseorang berlandaskan ketakwaannya pada allah~

Leenoh berkata...

Sdr.Kuntong.
Catatan anda sangat menarik dan sarat dengan cerita dan pengajarannya, kalau tidak diulas pun keadaannya telah sempurna kalau diulas akan menjadi lebih ceria dan mantap lagi.
Cuma cerita pasal hujan itu agak lebih menarik lagi dan mengusik jiwa, kekadang menggerunkan saya. Kita sama-samalah berdoa agar peristiwa itu tidak berulang lagi.
sekian.wassalam.

PJ selamba berkata...

salam,
aaaa
betul tu...
pak kuntong dah pun nyatakan sendiri pengajaran yg tersirat tu
struktur yg kuat, teguh...seteguh iman kita...
erm...
mcm tu rupanya pokok naga ek?
susah nak cari kat kedah..
tak pernah tgk lagi...
tapai ubi pun tak pernah cuba lg...
hehe

Dee berkata...

salam,

sgt mendalam n3 kali ini. Mmg kalo bukan rezeki kita dh dkt mulut pun belum tentu rezeki kita.

asas yg kuat penting dlm masyarakat, organisasi maupun keluarga...x gitu saudara kuntong?

eiza in the house.. berkata...

pakcik kuntong..terima kaseh atas entri ini..byk pengajarn didalamnya utk diri sy..:)