Jumaat, November 19, 2010

Erti "KORBAN" yang sebenar.



Sesungguhnya hari raya korban atau hari raya Aidiladha membawa erti yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, mengambil sempena Umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci, Mekah. Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu dari Allah supaya berbuat demikian.
Pada hakikatnya, pengertian korban bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin, tetapi falsafah korban itu merangkumi aspek yang lebih luas.
Namun begitu dalam kehidupan hari ini, kita harus memahami erti pengorbanan dalam erti kata yang lebih luas.
Ini termasuklah pengorbanan antara seorang manusia dengan manusia yang lain dan secara individu, umpamanya pengorbanan isteri terhadap suami dan anak-anak, anak terhadap kedua ibu bapa, begitu juga ibu bapa yang sanggup berkorban demi anak-anak tercinta.
Berkorban bukan sahaja membawa erti tentang kesanggupan seseorang itu untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan, tetapi lebih kepada kesanggupan seseorang untuk berbuat sesuatu untuk tujuan kebaikan.
Hidup adalah satu perjuangan dan setiap perjuangan memerlukan pengorbanan.Tidak akan ada pengorbanan tanpa kesusahan.

Justeru kesediaan seseorang untuk melakukan pengorbanan termasuk wang ringgit, tenaga dan masa sekalipun, benar-benar menguji keimanan seseorang. Dalam sesebuah masyarakat yang terdiri daripada individu-individu yang bersedia melakukan pergorbanan, pasti akan menjadi satu masyarakat yang kukuh, aman dan bahagia.

Semangat berkorban adalah tuntutan paling besar sama ada dalam lingkungan keluarga, masyarakat mahupun, agama bangsa dan negara.

(Rujukan dari Ukhwah)


Tiada ulasan: