Khamis, Disember 03, 2009

Tikus dan labu, musang dan ayam


tikus dan labu
Mulai pagi tadi, televisyen dirumah buat hal, ada suara, tapi tidak ada gambar. Ketok sana, ketok sini, namun ianya macam tu juga. Maklum sajalah pomen yang ada ni(diri ini), hanya pandai ketok-ketok aja, yang lain tidak berapa pandai. Setakat itu yang tahu mengenai cara-cara membaiki tv, nak lebih dari itu, takut jadi tikus dan labu. Hari ini, apa-apa berita dunia atau tempatan, hanya baca dari akhbar dan internet saja. Ada suara, tak ada rupa.


Tengahari tadi, kami bertiga beranak ke bandar Batu Pahat kerana ada sesuatu barang yang hendak dibeli. Sampai dipertengahan jalan, hujan turun dengan lebat, air hujan mula bertakung di tepi-tepi jalan, sungai Batu Pahat mula dipenuhi air, dalam hati berkata, " Wah !...Musim banjir dah nak mula agaknya."


Petang tadi ketika meninjau-ninjau kat reban ayam di belakang rumah, tidak disangka-sangka, terpandang kelibat seekor musang yang sedang mengendap-ngendap di dalam belukar berhampiran. Terperanjat dengan kehadiran saya agaknya, musang tu pun cabut lari. Yang peliknya, ayam-ayam dikandang pun tidak menunjukkan reaksi apabila musang tu menghampiri kawasan reban.

Biasanya, bapak ayam akan membuat bising bilamana ada musuh atau apa saja haiwan yang menghampiri kawasan reban tersebut. Dalam hati berkata, mungkin musang itu pandai menyamar sebagai ayam. Kan pepatah Melayu ada mengatakan "Musang berbulu ayam".
musang tetap musang

Musang zaman ini,bukan musang zaman dulu. Musang zaman ini memang pandai berpura-pura. Dia pura-pura berlagak macam ayam, pakai bulu ayam, berkokok macam ayam dan menyebarkan berita bahawa dia (musang) dah tak makan ayam. Yang peliknya ayam-ayam tu pun maha percaya dengan berita bohong yang disampaikan oleh musang itu. Dikalangan ayam-ayam tu ada yang tidak percaya dengan musang ni, dia pun beritahu kat ayam-ayam di kandang itu. Tapi yang peliknya, ayam yang masih ragu-ragu dengan musang ni dimusuhi oleh ayam-ayam yang terlalu percaya dengan musang ni, lantas mengatakan bahawa ayam yang ragu-ragu dengan musang ni, rasa cemburu dengan dia yang berbaik-baik dengan musang.
ayam selalu lupakan musang, tapi musang tidak pernah lupakan ayam

Dan hingga kini apa yang sedang dinanti oleh sang musang tu ialah menunggu saat yang baik untuk dia membaham ayam-ayam yang ada direban itu. Tunggu sajalah saat dan tikanya, kalau ayam-ayam di reban tu asyik bermusuhan saja, tidak mustahil, musang yang seekor tu, boleh membaham kesemua ayam-ayam yang ada. Bakal terhakislah keturunan atau baka ayam yang saya bela sekarang.


imej oleh Rouslenz





ikhlas daripada:
Photobucket

6 ulasan:

ieyza berkata...

tu maknanyerr nak kena beli tv baru....hehehe

Maiyah berkata...

musang ttp musang.. kejenya cari makan le.. dah fitrah, jgn kita jadi cam musang dah nanti silap2 kene ngap! :)

Dee berkata...

cerita yg ada makna tersirat ni pak kuntong..

KUNTONG berkata...

leYzA:
nak beli second hand kat rengit aja leYzA.

KUNTONG berkata...

Maiyah:
Musang tetap musang Maiyah,tetapi ayam mudah lupa.

KUNTONG berkata...

Dee:
Tepat Dee.Anda memang brpengalaman,agak-agak apa tu.