Sabtu, Februari 07, 2009

Filem 50an hingga 70an.



Apa khabar semua,

Dewasa ini tv di negara kita banyak menyiarkan rancangan yang menjurus kepada pengajaran, hiburan, infomasi, rancangan bercorak agama dan tidak ketinggalan juga mengulang tayang cerita-cerita lama seperti cerita-cerita dari filem Allahyarham P.Ramli,  Nordin Ahmad, Jamil Sulong dan banyak lagi.

Kebanyakan dari rancangan ini bertemakan nilai-nilai murni yang mengajak manusia hidup rukun damai, kasih sayang diantara satu sama lain, hormat menghormati sesama insan, balasan kepada sesaorang yang membuat sesuatu perkara yang melanggar norma-norma kehidupan, agama dan sebagainya.

Apa yang saya hendak cerita dalam entri kali ini ialah tentang  filem zaman saya muda-muda dulu. Waktu itu hiburan memang kurang, di kampung-kampung yang ada pun radio saja.

Itu pun tidak semua rumah mempunyai radio, yang ada hanya orang-orang yang kaya saja. Radio pun besar-besar macam peti sejuk mini waktu ini. Tenaga untuk menghidupkan radio ialah dari bateri basah. Dahlah besar, berat pula. Kalau anda tengok bateri lori treler masakini, macam itulah bateri yang digunakan untuk menghidupkan radio pada zaman dulu. Pakai seminggu dah habis kuasa.Terpaksa dihantar ke bandar untuk di cas semula. Bandar dengan kampung bukan dekat, tambahan pula hendak bawa bateri ke bandar bukan satu perkara yang senang, ia terpaksa dibawa dengan basikal. Orang Jawa panggil "basikal kago".

Waktu itu di kampung-kampung belum ada lagi bekalan letrik.  Bila dapat dengar suara R. Azmi, P.Ramli dan lain-lain menyanyi di radio, terlopong mulut kita, memikirkan macam mana boleh ada orang menyanyi dari peti radio itu. Bila jengok ke dalam radio, tak ada orang pulak. Mungkin anda geli hati bila membaca cerita saya. Ini bukan khayalan, tapi satu kenyataan.

Kalau sesebuah panggung wayang atau pawagam di bandar-bandar hendak  menayangkan cerita Melayu, maka penuhlah panggung  tersebut. Tayangan biasanya dimulakan pada jam 12.30 tengahhari, 3.30 petang, 7.15 malam dan terakhir pada jam 9.30 malam. Kadang-kadang diadakan tayangan yang dinamakan "midnight show".   Ini dikhaskan untuk filem-filem yang baru hendak ditayangkan kepada umum. Biasanya  cerita ini hanya akan ditayangkan pada siang hari seperti jadual harian,  setelah filem ini ditayangkan pada sessi "midnight show" dulu. Sesiapa yang dapat "tengok wayang" sesebuah cerita dari "midnight show" itu sudah dikira "terrer". Midnight show biasanya ditayangkan pada jam 12.45 malam dan habis dua atau tiga jam selepas itu. Filem yang ditayang biasa tidak akan di dubbing, atau dalam lain bahasa jalan ceritanya tidak akan dipotong. Itu yang menjadi kebangaan kepada mereka yang dapat melihat wayang dari midnight show.Bayaran untuk melihat midnight show biasanya lebih mahal dari bayaran pada tayangan biasa.  

Bayaran untuk masuk ke panggung ialah 65 sen untuk hadapan, RM1.00 untuk pertengahan dan RM1.30 untuk tempat duduk belakang. Disamping itu ada tempat khas dikenakan bayaran RM2.00. Tempat ini biasanya dipanggil Upstair. Sesiapa yang bawa "Endut" atau kekasih akan duduk di tempat khas ini.

Apa yang saya ingat, hanya dua buah syarikat yang mengeluarkan filem, iaitu syarikat Show Brothers dan satu lagi syarikat Cathay Keris. Kedua-dua syarikat ini berpengkalan di Singapura dan dipunyai oleh orang Cina.

Sekian untuk kali ini. Diharap cerita ini tidak menjemukan, dan ianya belum berakhir lagi. Ia akan datang lagi atau dalam bahasa di panggung zaman dulu ialah "Coming Soon".

Dicatat oleh Kuntong.



2 ulasan:

Leenoh berkata...

Sdr.Kuntong.
Amboi teringat pula zaman dulu, kalau di Kedah zaman tu mengala menggunakan kerbau, kalau mengangkut padi dari petak pakai anur yang ditarik oleh kerbau atau guna basikal pelantak besak, yang "terrer" bawa dua guni sekali gus, ada jugak yang jatuh dalam petak kerana batas bendang berlubang.
Kalau pasal menonton wayang pula, pada musim menuailah yang kerap ke sana kerana pada masa itu poket pun berisi.

Kuntong, lawak-lawak pun aruah Tony Kasim tu kawan saya semasa saya tinggal di Taman Johor. Tampoi dulu, dia jiran dekat saya.dia selalu bawa saya makan angin di sekitar Johor dengan Kak Nancy isteri dia.

Kalau tidak salah saya lepas tu dia pindah ke Klang dan meninggal di sana.( Al.Fatihah )

Hai cerita zaman dulu ni panjang, kena berhenti di sini dulu, nanti lebih panjang dari entri pula. he he he.
Wassalam

KUNTONG berkata...

Karier seseorang tak mencerminkan seperti yg disangka. Walaupun dia (Tony Kassim)filmstar, dia meninggal semasa solat. Payah nak dapat macam tu. Fatihah untuk Allahyarham.