Jumaat, Februari 27, 2009

Kini hidangan "Nasi Ambeng " datang lagi.



Sedulang hidangan nasi ambeng




Keberkatan hidangan Nasi Ambeng.


Saya pernah siarkan entri mengenai nasi ambeng. Dan saya berjanji untuk tulis mengenaainya dengan lebih detail. Nak hidangankan nasi ambeng kepada kawan-kawan memanglah agak mustahil. Jadi yang mampu hanya dihidang melalui maya saja.

Kepada yang pernah merasa hidangan ini, mungkin masih terasa akan keenakannya. Kepada yang belum, mungkin akan tertanya-tanya bagaimana agaknya rasanya. Untuk merasai keenakannya, ianya perlu dirasainya beberapa kali, barulah ummmnya datang. Kata orang, rasa keenakannya akan datang tanpa disedari.


Setiap dulang mengandungi bilangan lauk yang ganjil, 5,7 atau 9.




Menu di dalam nasi ambeng:

1. Nasi puteh.
2. Lauk utama : Ayam atau daging masak kicap, masak kari, masak kormak, atau apa saja jenis makanan yang dipilih oleh tuan rumah. (dalam satu mangkok lauk utama ini hendaklah ada empat atau lima ketul daging atau ayam).
3. Serunding (dibuat dari kelapa yang diparut dan rempah khas)
4. Mee goreng atau mee hoon goreng.
5. Sambal goreng . ( sejenis lauk yang mengandungi tempe, tahu, udang basah, hati ayam atau hati lembu goreng, so'on, lada basah, ikan bilis, santan kelapa dan rempah-rempah untuk menumis. ( Kesemua bahan-bahan ini ditumis, sebelum ditumis, tahu dan tempe dipotong kecil-kecil dan digoreng).
6. Sayur kacang ditumis dengan rempah dan lada.
7. Ikan masin atau telur masin.
8. Timun atau nanas dipotong-potong.



Kuih muih sebagai hidangan tambahan



Hidangan iringan: Kuih muih yang diletak pada dulang lain.

Bilangan lauk yang dihidangkan hendaklah ganjil, iaitu 5 jenis, 7 jenis atau 9 jenis.
Kuantiti nasi puteh yang dihidangkan dalam satu dulang adalah lebihkurang satu kilo beras.
Satu dulang nasi ambeng untuk 4 orang tetamu.

Cara menghidang:

1. Nasi puteh hendaklah dibubuh dalam satu dulang penuh seperti sebuah bukit.
2. Di tengah-tengah nasi itu dibubuh dengan daun pisang yang berbentuk bulat.
3. Lauk-lauk yang dinyatakan tadi hendaklah diletak di atas daun pisang yang mana ianya hendaklah di letakkan dalam empat bahagian dan pada tiap-tiap bahagian itu mengandungi semua jenis lauk yang dinyatakan tadi, kecuali lauk utama diletakkan di dalam satu mangkok yang mengandungi empat ketul ayam atau daging. Ianya diletak ditengah-tengah dulang itu.
4.Setiap satu dulang hanya untuk empat tetamu sahaja.

Setelah bacaan tahlil selesai, nasi ambeng akan dihidangkan kepada para tetamu, setelah imam membaca doa makan.




Bacaan tahlil sudah selesai dan menanti hidangan



Selain makanan yang dihidangkan, tuan rumah juga ada menyediakan beberapa ikat bag plastik untuk membungkus nasi yang dikenali sebagai "berkat".

Kepada mereka yang tidak pernah melihat hidangan ini mungkin akan tertanya-tanya, bolehkah empat orang menghabiskan satu dulang hidangan nasi ambeng yang banyak itu, sudah tentu tidak boleh, Ini kerana tetamu biasanya tidak akan menghabiskan makanan itu, mereka akan makan hanya sedikit dari hidangan itu. Dan selebihnya akan dibungkus dan dibawa balik untuk anak isteri dirumah. Bungkusan nasi ini dinamakan " berkat ".

Bungkusan berkat ini adalah untuk anak isteri di rumah. Mungkin kepada yang tidak biasa memakan nasi berkat ini tidak dapat memakannya kerana ia mengangap ianya adalah nasi dari sisa makanan yang dimakan oleh para jemputan.

Tetapi jangan salah anggap. Pada mulanya ia akan beranggapan begitu tetapi setelah mendapat penerangan dari suaminya, barulah ia hendak merasainya. Dan bila sudah terasa nikmatnya, percayalah anda akan sentiasa menanti-nanti nasi berkat ambeng bila suami anda pergi ke majlis tahlil.



Apakah hikmah disebalik hidangan nasi ambeng ? Akan saya nyatakan di entri yang akan datang.

Terima kasih.


Resepi lain yang tidak dinyatakan dalam nasi ambeng: Gambar hiasan.


Ikan masin.

Urap-urap.


Sayur lemak embot kelapa


Dalca
Bungkusan berkat.


HIDANGAN SIAP TERHIDANG



SEKIAN DARI SAYA, SEGALA PERBEZAAN  TENTANG HIDANGAN
DAN RESEPI DALAM NASI AMBENG ADALAH DI SEBABKAN
PERBEZAAN TEMPAT DAN CARA HIDUP SESEBUAH  MASYARAKAT KELILING.
WALAUPUN TIDAK MENGUBAH KESELURUHANNYA SEKURANG-KURANG 
CARA HIDUP MASYARAKAT KELILING DAN FAKTOR MASA MEMPENGARUHI SEDIKIT DARI RESEPI YANG ASAL.
 
















Isnin, Februari 23, 2009

Ribut keletak keletik terus mengganas kini.








Akan tercatat di lembaran sejarah Tahun 3020.





Dah hampir tiga minggu ribut ini masih belum reda. Ribut yang melanda sekarang ni memang merisaukan saya. Tak tau pula saudara-saudara. Ribut yang dimaksudkan bukanlah ribut taufan atau ribut tsunami yang pernah menyerang Acheh dulu. Ribut ini walaupun tidak ada angin dan air yang menenggelamkan permukaan bumi, tapi ia boleh melenyapkan satu rumpun bangsa yang telah lama di kawasan tersebut.

Bila ribut ini berlaku, maka mereka yang ada berdekatan dengan kawasan itu akan memerhatikan sahaja. Mereka mungkin akan tersenyum melihatkan gelagat mangsa ribut ini. Dan mangsa ribut ini pula tidak habis-habis akan menyalahkan satu sama lain. Masing-masing akan menuding jari. Menyalahkan orang lain, tapi hakikatnya, merekalah yang mengakibatkan semua ini. Akibat dari ribut itu, anak bini serta anak-anak cucu mereka sudah tidak ada tempat untuk berteduh lagi. Bukan sahaja tempat berteduh sudah roboh, berkemungkinan tapak atau tempat untuk mendirikan pondok kecil pun sudah tidak punya, ini akibat tanah-tanah di situ sudah dipunyai oleh mereka yang melihat gelagat mereka yang suka buat ribut. Ketika mangsa ribut asyik bercakaran, mereka yang memerhati akan mengambil kesempatan untuk mengaut seberapa banyak faedah daripadanya. Bila mangsa-mangsa ribut ini lemah dan tidak ada kekuatan, maka senanglah mereka pegang kepala kedua-dua mangsa ribut ini dan dihantukkan sesama kepala mangsa ribut. Akibatnya kepala mangsa ribut ini pening-pening lalat dan sudah tidak dapat berfikir dengan waras. Inilah masanya dia orang hendak menghapuskan semua yang menjadi halangan untuk mereka bermahrajalela. Bila semuanya sudah termaktub, maka sudah tentu semuanya akan menyebelah kepada mereka. Sudah tentu mereka akan hapuskan segala yang menjadi keistemewaan kepada penghuni kawasan itu. 

Bila keadaan dimana semuanya lenyap barulah nanti menyesal. Tetapi semuanya sudah tidak berguna langsung. Mangsa ribut yang suka buat ribut baru tau rupanya ribut yang melanda tu bukan sahaja melenyapkan mereka yang terlibat, tetapi rupanya boleh melenyapkan satu rumpun bangsa yang berkemungkinan tidak akan wujud lagi di dunia ini. Kalau ada pun hanya tercatat di dalam buku sejarah sekolah-sekolah di dalam tahun 3020 agaknya, berkemungkinan akan tercatat bahawa bangsa ini sudah lenyap akibat dari ribut sesama sendiri.

Yang tinggal cuma gambar-gambar kenangan dan menumen di meuseum negara pada waktu itu.
Di dalam buku sejarah atau di dalam komputer kanak-kanak sekolah di waktu itu akan tertera slide- slide bagaimana ribut melanda di zaman dahulu iaitu tahun 2009 yang telah melenyapkan satu rupa bangsa yang agong. Ianya mungkin sama seperti kaum "sabak" yang dilenyapkan oleh Allah swt seperti yang terdapat di dalam al quraan.

Jadi, kalau kita tidak mahu ini semuanya terjadi. Janganlah bikin ribut. Carilah satu cara yang terbaik untuk menghentikan ribut ini.
Berpakatlah dengan cara yang terbaik. Kalau kita mengaku Allah yang sama kita sembah, mengapa kita tidak boleh ambil satu keputusan yang baik demi masa depan cucu-cicit kita. 

Jangan suka silak kain orang, nanti dilain kali orang akan silak kain kita pula. Balasan tunai kalau kita dengki pada orang lain sekarang ni bukan sahaja berlaku di Mekah atau Madinah, berkemungkinan boleh berlaku di tanah air kita. Kerana nawaitu nya untuk beri malu pada orang lain, bukan untuk membina. Kalau hendak membina, jumpalah satu sama satu, beritahu dan suruh taubat, bukan di siarkan pada umum. 

Dunia sudah akhir zaman, tanda-tandanya sudah banyak berlaku, dari itu marilah kita sama-sama membuat amal ibadah agar, nanti kita ini tidak menjadi orang yang "bankrupt" di hari pengadilan.
                    
 
                Cuba kita renungkan maksud Suratul Infitar (Terbelah):



Dengan Nama Allah yang maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

1. Apabila langit terbelah;
2. Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan;
3. Dan apabila lautan pecah bercampur baur;
4. Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan;
5. (Setelah semuanya itu berlaku); Ketahuilah tiap-tiap diri akan apa yang telah kerjakannya,dan ditinggalkannya.
6. Wahai manusia! Apakah yang memperdayakan mu-(berlaku 
     durhaka) kepada tuhanmu yang amat pemurah ?
7. Tuhan yang telah mengaturkan kejadianmu lalu menjadikan 
    anggotamu sesuai (dengan tujuan kerananya diadakan anggota
    itu) serta menjadikan (binaan tubuh badanmu ) sama padan    
    dengan kekuatannya;
8. Dalam bentuk dan rupa apa saja yang dikehendakinya, Ia 
    susunkan kejadianmu;
9. Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (Hai, golongan 
    yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya
    hari pembalasan;
10.Padahal sesungguhnya ada Malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala  bawaan kamu ;
11.(Mereka adalah makhluk) yang mulia (disisi Allah)lagi yang ditugaskan menulis  (amal-amal kamu) ;
12.Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan;
13.(Gunanya catitan Malaikat-malaikat itu ialah untuk menyatakan sesiapa yang berbakti dan siapa yang bersalah), kerana sesungguhnya orang-orang yang berbakti ( dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam syurgayang penuh nikmat:
14.Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam neraka yang menjulang julang;
15.Mereka menderita bakaran neraka itu pada hari pembalasan;
16.Dan mereka (sentiasa berada dalam azab siksanya), tidak ghaib daripadanya;
17.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
18.Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu?
19.(Hari itu ialah) Hari sesaorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.  



Sekian. Wassalam.


    

Isnin, Februari 16, 2009

Marilah sama-sama berdoa.....






BERDOALAH UNTUK KESEJAHTERAAN BERSAMA






Salam:

Lebih dari seminggu, saya tidak update atau menulis apa-apa entri di dalam blog. Entah mengapa saya sendiri pun tak tau. Sebelum menghadap komputer, macam-macam dalam kepala yang akan ditulis, tetapi apabila mula nak menaip dalam ruangan catatan baru, hati mula tawar. Sebaliknya hanya berlegar-legar ke blog kawan-kawan yang memang menarik dan banyak infomasi.

Kekadang , bila kita menghadapi sesuatu situasi begini, kita tidak dapat mengagak mengapa ianya terjadi. Justeru kawan-kawanlah yang sering memberi panduan dan nasihat. Nasihat dan pandangan dari kawan memang perlu dalam hidup ini. Nasihat dari merekalah yang menjadi timbangtara kita untuk membuat kesimpulan dan tindakan selanjutnya.

Kemungkinan apa yang menyebabkan hati ini menjadi lesu dan tidak bermaya ialah keadaan yang sedang berlaku di negara kita, tentang perpaduan orang kita, orang Melayu Islam. Walaupun ianya tidak ada mengena dengan kita sebagai orang bukan politik, tetapi ianya melibatkan anak cucu kita. Apa yang akan terjadi duapuluh tahun atau tigapuluh tahun akan datang. Apakah nasib mereka pada masa itu.

Kebanyakan dari anak kita tidak merasa bagaimana hidup sebelum merdeka, keadaan hidup semasa zaman penjajahan British, atau zaman dharurat. Zaman dimana bekalan letrik atau air paip belum lagi sampai di kampung. Apa lagi jalan tar . Jauh sekali televisyen atau komputer. Apa yang mereka tau ialah lahir di bumi yang sudah tersedia dengan kemudahan.

Ibu saya ada menceritakan bahawa ayah saya meninggal pada tiga hari raya Aidilfitri akibat sakit demam, waktu itu umur saya baru setahun setengah. jadi sekecil itu, saya sudah jadi anak yatim.Lebih kurang umur tujuh atau lapan tahun, untuk menampung hidup, saya terpaksa menolong nenek menoreh getah. Kerja begini berjalan hinggalah umur saya lebih kurang 10 tahun. Seawal jam 5.00 pagi sudah meredah kebun getah untuk memotong getah. Tugas saya yang masih kecil ialah menarik getah segrip dari cawan getah dan kumpulkan di dalam baldi. Selepas tugas saya habis, lebihkurang jam 10.30 pagi, saya balik ke rumah walaupun tugas nenek saya belum habis. Ini disebabkan saya akan bersiap-siap untuk pergi ke sekolah di bandar Batu Pahat yang jauhnya lebih 18 kilometer.

Perjalanan dari kampung ke bandar dengan basikal buruk pada waktu itu, tidak dapat digambarkan, lebih-lebih lagi kalau waktu hujan. Saya terpaksa menyebrang sungai Batu Pahat untuk sampai ke sekolah. Waktu itu jambatan Batu Pahat belum terbayang lagi. Yang ada hanya sampan dan feri sahaja. Untuk menyebrang sungai dengan sampan dikenakan bayaran 10 sen, pergi dan balik jadi 20 sen. Tinggallah wang saku 20 sen. Dari 20 sen ini, saya simpan 10 sen dan makan 10 sen.

Saya bersyukur, walaupun keadaan hidup amat susah, namun dapat juga saya lepasi persekolahan saya dari SMC (Special Malay Class) hinggalah lulus MCE (Malaysian Certificate of Education ) pada tahun 1964. Cita-cita untuk ke tingkatan enam, tetapi keadaan tidak mengizinkan, terpaksalah saya mencari kerja untuk meneruskan hidup.

Hari ini..... kehidupan hari ini..... kemudahan hari ini, adalah hasil perjuangan dari orang-orang dulu. Mereka yang lahir pada zaman yang boleh dikatakan senang ini, mungkin tidak mengerti erti kesangsaraan, kelaparan, peperangan, ketakutan. Kemungkinan mereka ingin untuk merasainya.

Saya yang pernah merasai semuanya ini berharap, agar semua ini jangan terjadi. Marilah kita sama-sama berdoa agar apa yang pernah terjadi pada zaman kita dulu, tidak terjadi pada zaman anak cucu kita nanti. Fikirkanlah sedalam-dalamnya, jangan bertindak mengikut perasaan. Jangan korbankan masa depan anak cucu kita.

Bertindaklah dengan waras dan pertimbangan yang sedalam-dalamnya.
AMIN.......YA RABAL ALAMIN.


Dari Kuntong 16 Februari 2009.







Isnin, Februari 09, 2009

UNTUK PANDUAN KITA



  UNTUK RENUNGAN BERSAMA:

1."Kegagalan itu merupakan satu kesempatan untuk 
    mendapatkan peluang yang lebih baik."
    (Henry Ford).

2."Akhlak yang buruk merosakkan amal, seperti cuka 
    merosakkan madu."
    (Nabi Muhammad SAW ).

3. "Bukan cita-cita namanya kalau hanya 
     dengan kata-kata. "
     ( Darwin )

4. "Orang yang sombong dan bongkak tidak akan 
     mengaku kesalahan dirinya, sebaliknya sentiasa 
     mencari kesalahan orang lain."
     (Fikirin Sendiri). 

5.  "Orang yang mabuk, sentiasa memikirkan 
      bahawa perbuatannya itu sentiasa betul 
      walaupun apa yang dilakukan itu ternyata salah, 
      dan sentiasa menyalahkan orang lain 
      walaupun perbuatan orang lain itu ternyata betul."
     (Fikrin Sendiri)




      

Sabtu, Februari 07, 2009

Filem 50an hingga 70an.



Apa khabar semua,

Dewasa ini tv di negara kita banyak menyiarkan rancangan yang menjurus kepada pengajaran, hiburan, infomasi, rancangan bercorak agama dan tidak ketinggalan juga mengulang tayang cerita-cerita lama seperti cerita-cerita dari filem Allahyarham P.Ramli,  Nordin Ahmad, Jamil Sulong dan banyak lagi.

Kebanyakan dari rancangan ini bertemakan nilai-nilai murni yang mengajak manusia hidup rukun damai, kasih sayang diantara satu sama lain, hormat menghormati sesama insan, balasan kepada sesaorang yang membuat sesuatu perkara yang melanggar norma-norma kehidupan, agama dan sebagainya.

Apa yang saya hendak cerita dalam entri kali ini ialah tentang  filem zaman saya muda-muda dulu. Waktu itu hiburan memang kurang, di kampung-kampung yang ada pun radio saja.

Itu pun tidak semua rumah mempunyai radio, yang ada hanya orang-orang yang kaya saja. Radio pun besar-besar macam peti sejuk mini waktu ini. Tenaga untuk menghidupkan radio ialah dari bateri basah. Dahlah besar, berat pula. Kalau anda tengok bateri lori treler masakini, macam itulah bateri yang digunakan untuk menghidupkan radio pada zaman dulu. Pakai seminggu dah habis kuasa.Terpaksa dihantar ke bandar untuk di cas semula. Bandar dengan kampung bukan dekat, tambahan pula hendak bawa bateri ke bandar bukan satu perkara yang senang, ia terpaksa dibawa dengan basikal. Orang Jawa panggil "basikal kago".

Waktu itu di kampung-kampung belum ada lagi bekalan letrik.  Bila dapat dengar suara R. Azmi, P.Ramli dan lain-lain menyanyi di radio, terlopong mulut kita, memikirkan macam mana boleh ada orang menyanyi dari peti radio itu. Bila jengok ke dalam radio, tak ada orang pulak. Mungkin anda geli hati bila membaca cerita saya. Ini bukan khayalan, tapi satu kenyataan.

Kalau sesebuah panggung wayang atau pawagam di bandar-bandar hendak  menayangkan cerita Melayu, maka penuhlah panggung  tersebut. Tayangan biasanya dimulakan pada jam 12.30 tengahhari, 3.30 petang, 7.15 malam dan terakhir pada jam 9.30 malam. Kadang-kadang diadakan tayangan yang dinamakan "midnight show".   Ini dikhaskan untuk filem-filem yang baru hendak ditayangkan kepada umum. Biasanya  cerita ini hanya akan ditayangkan pada siang hari seperti jadual harian,  setelah filem ini ditayangkan pada sessi "midnight show" dulu. Sesiapa yang dapat "tengok wayang" sesebuah cerita dari "midnight show" itu sudah dikira "terrer". Midnight show biasanya ditayangkan pada jam 12.45 malam dan habis dua atau tiga jam selepas itu. Filem yang ditayang biasa tidak akan di dubbing, atau dalam lain bahasa jalan ceritanya tidak akan dipotong. Itu yang menjadi kebangaan kepada mereka yang dapat melihat wayang dari midnight show.Bayaran untuk melihat midnight show biasanya lebih mahal dari bayaran pada tayangan biasa.  

Bayaran untuk masuk ke panggung ialah 65 sen untuk hadapan, RM1.00 untuk pertengahan dan RM1.30 untuk tempat duduk belakang. Disamping itu ada tempat khas dikenakan bayaran RM2.00. Tempat ini biasanya dipanggil Upstair. Sesiapa yang bawa "Endut" atau kekasih akan duduk di tempat khas ini.

Apa yang saya ingat, hanya dua buah syarikat yang mengeluarkan filem, iaitu syarikat Show Brothers dan satu lagi syarikat Cathay Keris. Kedua-dua syarikat ini berpengkalan di Singapura dan dipunyai oleh orang Cina.

Sekian untuk kali ini. Diharap cerita ini tidak menjemukan, dan ianya belum berakhir lagi. Ia akan datang lagi atau dalam bahasa di panggung zaman dulu ialah "Coming Soon".

Dicatat oleh Kuntong.



Jumaat, Februari 06, 2009

TAHUKAH ANDA !


 HANYA UNTUK PENGETAHUAN. 

                                             GUNUNG BATU HANYA HIASAN


GUNUNG PERTAMA DI BUMI:

Menurut riwayat dari Ibnu Abbas, bahawa Jabbal (gunung)Abi Kubais yang terletak dekat Masjid Haram, Mekah adalah merupakan gunung yang pertama dijadikan oleh Allah di muka bumi ini. 

Ketika berlaku banjir besar zaman Nabi Noh a.s. di gunung inilah Malaikat Jibril memindahkan batu Hajar Aswad dari Kaabah untuk menyelamatkannya dari bencana tersebut. 



                                   GAMBAR HIASAN


MASJID JIN:

Masjid jin yang terletak di tanah suci Mekah merupakan antara masjid yang bersejarah. Ianya dinamakan Masjid Jin kerana ditempat inilah dikatakan para jin bermesyuarat dan bersepakat untuk membai'ah dan mengakui Nabi Muhammad s.a.w sebagai utusan Allah.







Dicatat oleh Kuntong.( info )





Selasa, Februari 03, 2009

DOA - otak IBADAH.




BERDOALAH UNTUK KEBAHAGIAN DI DUNIA DAN AKHIRAT




Antara ibadat yang tidak menuntut syarat dan rukun
yang ketat adalah DOA dan ZIKIR. Berdoa ertinya memohon 
dengan sepenuh hati kepada Allah dengan mengharapkan
kebaikan dan dikabulkan segala permintaan. ZIKIR  pula sebutan
lisan atau gerakan hati untuk mendekatkan diri dengan Allah atau 
menyingkirkan ehwal duniawi. Meskipun tidak menuntut syarat 
dan rukun yang ketat, doa dan zikir adalah ibadah yang penting. 
Doa adalah otak ibadah dan zikrullah itu lebih baik 
daripada  dunia dengan isinya. 


(IKHSAN MAMPANIES)




Isnin, Februari 02, 2009


KEHIDUPAN YANG BERSIH MENJAMIN KEBAHAGIAN DUNIA DAN AKHIRAT

Jawapan kepada santai minda.



INI BUKAN DALAM BAS TAPI DALAM PESAWAT AIRBUS


JAWAPAN KEPADA SANTAI MINDA



Assalamualaikum semua,

Bertemu lagi kita, setelah tiga hari menghilangkan diri untuk sementara.

Pagi ini saya akan memberi jawapan kepada soalan yang saya kemukakan pada entri yang lepas.Diharap kepada kawan-kawan, janganlah salah anggap, ini hanyalah sebagai salah satu cara untuk kita menceriakan minda kita yang terlalu banyak memikirkan hal-hal kehidupan.



TERMINAL BAS EKSPRESS BATU PAHAT



Selagi kita bernafas, selagi itulah kita hidup. Bila kita dikatakan HIDUP,hendak atau tidak kita kenalah menjalani kehidupan kita di dunia ini. Itu memang tanggungjawab kita bila kita dilahirkan di dunia ini. Nasib baik dan bersyukur kita, kerana kita dilahirkan dari ibubapa kita yang beragama Islam, dan nasib baik lagi, dan bersyukur juga kerana kita dilahirkan di bumi Malaysia ini. Andai kata kita dilahirkan di bumi yang sedang bergolak sekarang, atau kita dilahirkan dari golongan ibubapa yang bukan beragama Islam ?

Dalam entri yang lepas, saya ada mengemukakan satu soalan :

APAKAH PERKARA YANG PALING UTAMA ANDA LAKUKAN SEBELUM ANDA TURUN DARI BAS.

Setelah saya semak, jawapan kepada soalan itu di dalam ruangan komen, saya dapati semuanya betul, tetapi jawapan yang paling betul dan tepat ialah jawapan dari Saudari GOASOP. Iaitu "sebelum kita turun dari bas, kita kenalah naik bas dulu, itu yang utama." Tahniah !!!Goasop, maaf ya, tak ada hadiah lah.

Bila kita naik bas, baru kita boleh turun dari bas, dan sebelum kita naik bas, kita tidak akan dapat melakukan perkara-perkara seperti memicit loceng, kita tak kisah di mana kita nak turun, kerana kita tidak berada di dalam keadaan atau situasi sebegitu.

Bila berada di dalam bas, diibaratkan seperti kita berada di dalam situasi yang berbeza dari orang di luar bas. Berada di dalam bas diumpamakan kita sedang berada di dalam satu kelompok atau masyarakat yang beraneka rupa dan beraneka ragam. Disinilah kita dapat memerhati dan menilai secara sepintas lalu keadaan setiap individu yang berada di dalam bas itu. Dan dari setiap tingkah laku mereka yang berada di dalam bas,sudah tentu kita akan menilai diantara yang baik dan yang tidak baik.

Mana yang baik kita jadikan tauladan, dan yang tidak baik kita jadikan sempadan. Akhir sekali, kita nilai pula diri kita. Kita muhasabah diri kita.
Adakah kita pernah lakukan perkara yang tidak baik,atau perkara yang kita anggap meluat. Atau pernahkah kita lakukan perkara yang baik pada pandangan kita.

Semoga dengan menaiki bas, kita dapat pelajari banyak perkara. Moga-moga kita jadi penumpang bas yang berintegriti dan pemandu bas yang juga berintegriti.

Mudah-mudahan. Insa'allah.

Sekian,Terima kasih.


Dari Kuntong 02.02.2009.